Taip alamat e-mel anda:


Refleksi Manhaj


Seruan yang kita panggilkan dan serukan kepada manusia bukanlah seperti satu lolongan dan jeritan yang tidak punya roh dan perasaan, yang dijerit-jerit pada lorong yang kosong. Bahkan seruan kita ialah seruan yang meriah dengan roh, mesra dan penuh kasih sayang. Seruan kita ialah seruan yang mahu menyelamatkan orang-orang yang sedang terjun ke dalam api memamah diri, kita mahukan mereka selamat seperti mana kita selamat.

Lebih daripada itu, seruan kita ialah seruan yang membumi, seruan kita berpijak di atas bumi yang nyata, bukan angan-angan mahupun cakap kosong. Kita menyeru atas sunnah seruan mereka-mereka yang terlebih dahulu menyeru manusia ke jalan-Nya. Menyaksikan bagaimana Islam kian memuncak atas seruan-seruan yang mereka hidupkan, bukan semata kepada mereka yang di luar, tetapi juga kepada diri mereka. Maka ia menjadi satu seruan yang berasaskan kepada suatu petunjuk, suatu panduan, dan suatu pimpinan, menjadilah ia manhaj yang kita teladani. Dan manhaj ini ialah suatu jalan yang nyata dan membumi, tidak terawang-awangan pada seruan dan kata semata-mata.

Seruan inilah dakwah yang kita mahu sampaikan kepada masyarakat, Muslim khususnya. Seruan yang sepertimana dibuat oleh baginda nabi SAW dan para sahabat yang terdahulu, para tabi’in, para tabi’ tabi’in, dan kesemua mereka dalam tiga kurun Islam pertama (rujuk hadith Kurun Terbaik). Dakwah dan tarbiyyah yang mengikut sunnah baginda nabi, menjadi asas kepada kebangkitan ummah yang tidak lain memerlukan kita semua, terutamanya para pendokong risalah untuk islah individu, mengikut marhalah dakwah sehingga mencapai Ustaziyatul Alam.

Menurut janji baginda SAW, bahawa Dunia ini akan kembali semula kepada pangkuan Islam, mengikut manhaj Rasul SAW, bukanlah suatu realiti andai kita bermain-main. Dan kita perlu berusaha, sehinggalah tercapainya janji baginda nabi SAW, meskipun tatkala Islam kembali mentadbir dunia, kita sudah mesra diulit tanah-tanah, kembali kepada fitrah kejadian  kita, hanya merasa di alam barzakh. Sedang Konstantinopel yang dijanji pembukaannya oleh baginda nabi SAW itu tidaklah ia tercapai dengan termangu-mangu sahaja, bahkan usaha demi usaha dibuat, sehingga ia merentas pemerintahan tiga dinasti khilafah, sehinggalah Sultan Muhammad II membukanya, 800 tahun daripada hadith tersebut diungkap.

Usahlah kita berasa lemah kerana berita-berita yang sampai mencaci dan menghina serta merendahkan Islam, kerana ujian demi ujian ini telah dirasakan bukan sekadar oleh nabi SAW, bahkan oleh para anbiya` dan mursalin sebelum baginda, bagi menunjukkan bahawa ia suatu ketentuan daripada Allah SWT;


Dan demikianlah Kami jadikan bagi tiap-tiap nabi itu musuh, iaitu syaitan-syaitan (dari jenis) manusia dan (dan jenis) jin, sebahagian mereka membisikkan kepada sebahagian yang lain perkataan-perkataan yang indah-indah untuk menipu (manusia). Jikalau Tuhanmu menghendaki, niscaya mereka tidak mengerjakannya, maka tinggalkanlah mereka dan apa yang mereka ada-adakan. [QS:6:112]

Apa yang lebih penting ialah kita tidak bermain dengan permainan musuh-musuh Allah, kita tidak perlu mengikut arus yang mereka kawalkan. Walhal kita telah punya warisan yang tidak pernah sekali-kali meninggalkan dan menyesatkan kita, al-Quran dan as-Sunnah, maka itulah pegangan yang sekali-kali tidak akan menyesatkan kita, bahkan akan membawa kita terus mampir kepada Allah (rujuk hadith Dua Hal yang diwariskan oleh Nabi).

Dalam daya mengembalikan Islam kepada puncaknya, tidak boleh ada pada jiwa kita para penyongsong risalah kenabian, dakwah dan tarbiyyah akan sifat isti’jal. Tergesa-gesa dan terburu-buru mahu melihat hasil daripada dakwah yang kita serukan. Ia, samada boleh mencacat-celakan gerak dakwah dan organisasinya, atau ia boleh mengundang petaka yang tidak terlihat dari hasil pemikiran yang tidak mapan. Namun, dalam ketika tertentu, peluang-peluang yang ada perlu dimanfaatkan untuk melihat celah-celah yang bisa dakwah dan tarbiyah itu sampai. Maka, dalam ketika ini, perlu kepada kebijaksanaan dan kematangan, kerana itu perlu padanya Hikmah para syuyukh dan Semangat para syabab. Begitulah pula applikasi istisyarah dan isti`zan perlu digunakan oleh para pendukung dakwah demi memastikan amal jamai’e itu terjaga haknya.


Sesungguhnya Allah menyukai orang yang berperang dijalan-Nya dalam barisan yang teratur seakan-akan mereka seperti suatu bangunan yang tersusun kukuh. [QS:61:4]

Kita perlu maklumi bahawa berperang tanpa strategi itu ialah berperang dalam kebodohan. Melihat kembali kepada manhaj yang digunakan oleh nabi SAW ialah suatu strategi yang tersusun dan penuh hikmah. Lihatlah ketika mana perang khandak berlangsung, bagaimana nabi dan para sahabat bersyura, dan memohon istisyarah sesama mereka. Ketika itu Salman al-Farisi mencadangkan agar parit dibina mengelilingi Madinah. Begitu pula semasa peperangan berlangsung, para munafik tidak memohon keizinan daripada baginda nabi SAW lalu beransur pergi meninggalkan medan peperangan, lalu dicela Allah;


Sesungguhnya yang sebenar-benar orang mukmin ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya, dan apabila mereka berada bersama-sama Rasulullah dalam sesuatu urusan yang memerlukan pertemuan, mereka tidak meninggalkan (Rasulullah) sebelum meminta izin kepadanya. Sesungguhnya orang-orang yang meminta izin kepadamu (Muhammad) mereka itulah orang-orang yang beriman kepada Allah dan rasul-Nya, maka apabila mereka meminta izin kepadamu karena sesuatu keperluan, berilah izin kepada siapa yang kamu kehendaki di antara mereka, dan mohonkanlah ampunan untuk mereka kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. [QS:24:62]

Di dalam ayat di atas, Allah telah memerli dan menempelak orang Munafik bahawa orang yang benar-benar beriman hanyalah mereka yang meminta izin untuk meninggalkan medan peperangan, bukan orang yang semberono meninggalkan tanpa izin dan sebab. Betapa Allah SWT menekankan kepentingan izin kepada amir.

Manhaj ini juga mengajarkan bahawasanya dalam menggabungkan diri bersama gerabak dakwah, kita tidak dijanjikan dengan kemewahan dan populariti, apalagi pangkat dan nama, bahkan para pendokong risalahlah yang akan mengeluarkan dan membaktikan hartanya untuk memastikan kesinambungan dan kelancaran gerak kerja dakwah. Maka, para penyongsong risalah tidak boleh membiarkan kemahuan kita pada kehendak duniawi bercampur baur dengan perjuangan menegakkan risalah. Kadang-kadang, betapa kita mengkehendaki sesuatu sehinggakan kita bisa jadi celaru apa keputusan yang perlu kita ambil, sampai suatu tahap ada yang akan bertindak meninggalkan gerabak dakwah ini melihatkan dia tiada mendapat apa-apa manfaat dan dia tidak mampu untuk mendapat apa yang dia inginkan.

Memang, kerja ini bukan suatu hal yang menjanjikan kepada pendokongnya akan kemewahan, kekayaan, kenamaan, keuntungan, mengikut faham manusia yang terhad dan cetek, tetapi ia memberikan ganjaran yang kekal, tiada sesiapa yang mampu mengganjarnya melainkan Allah SWT. Pernah suatu ketika tanah Arab dilanda kemarau, dan Abdur Rahman bin Auf, sang jutawan Muslim membawa pulang berpuluh ekor unta sarat dengan beras pada tunggangannya. Ketika mahu dibeli orang dia bertanya, “Berapakah yang bisa kau tawarkan?” maka jawab si pembeli, “aku boleh membeli dengan harga dua kali ganda”, maka berkata Abdur Rahman bin Auf, “itu tidak cukup bagiku, aku mahukan sepuluh kali ganda nilai beras ini”, maka tercenganglah para pembeli. Siapakah yang mampu membalas sepuluh kali ganda kalau bukan Allah? Maka diberinya beras-beras tersebut untuk manfaat semua orang, sedang dia pulang dengan kekayaan yang berlipat kali ganda.

Dan akhirnya, sebelum tinta ini berhenti ditulis. Dalam memilih gerabak dakwah yang ingin kita gabungkan diri ke dalamnya, lihatlah pada manhajnya. Adakah manhajnya jelas, atau ia sekadar lolongan suara dan idea tanpa berpijak pada bumi amal? Sedang dakwah dan tarbiyah hanya jelas apabila manhajnya jelas. Adakah manhajnya mengikut manhaj nabi SAW dan apakah manhaj yang paling hampir dengan manhaj nabi SAW? Sedang itu merupakan sunnah-Nya dan sunnah nabi SAW. Apa manhaj yang kita pilih untuk gabungkan diri ke dalamnya inilah yang akan menentu pembentukan syakhsiah dan hala tuju kita. Namun, ia bukan suatu hal semata-mata yang menentukan perkara tersebut, ia juga bergantung kepada betapa teguhnya keyakinan kita kepada manhaj dan fikrah yang kita bawa (sedang kita perlu yakin dengan fikrah kita, Syed Qutb rah.), begitu pula dengan dzatiyyah kita untuk menghidupkan amal tarbawi menurut manhaj tersebut.




Lumpuh Menongkah Dunia

Ilmu yang telah kita pelajari dan ditunjuki dengannya tetapi tidak membawa hati, anggota dan jiwa kita kepada beramal dengannya hanya akan membuatkan ilmu tadi menjadi tepu, amal menjadi karat, dan sia-sia. Salah satu daripada hal yang kita mahu lihat daripada kesan menenggelamkan diri dalam tarbiyyah ialah berlakunya perubahan, dan tarbiyyah itu memimpin seseorang kepada bersuluk,  serta beramal dengan Islam yang syumul tadi.

Seorang akh mengungkapkan hal di atas dengan analogi ringkas ini, keadaan malang yang menimpa kita ini ialah seumpama sebuah bekas yang air di dalamnya penuh, tetapi tersekat, tertakung sahaja, tidak mengalir, sehinggalah ia busuk dan berbau. Hakikatnya, kita sendiri menjadi sia-sia kerana banyaknya ilmu tetapi sedikitnya beramal.

Dan tiadalah sama pula orang yang tahu dan orang yang faham, kerana orang yang tahu belum tentu dia mahu beramal dengan apa yang dia tahu kerana dia tidak memahami tuntutan apa yang diketahuinya itu ke atas dirinya. Kita ambil contoh mudah, seorang yang telah diberitahu dan diterangkan tentang hukum perhubungan di antara lain jantina sebelum kahwin, sudah pasti tidak akan memutuskan perhubungan yang dia ada ketika itu kerana dia tidak memahami tuntutan hal tersebut ke atasnya. Seandainya dia memahami dalam mencelup diri dengan sibghah Allah dengan mengikuti tarbiyah, dia wajib meninggalkan hal-hal jahiliyyah, bahawasanya dengan bergelumang dalam perkara ikhtilat boleh membantutkan perkembangan tarbiyyah kendirinya, maka ia akan terlihat, meskipun secara beransur-ansur.

Beramal dengan ilmu hasil pentarbiyyahan tidak sekadar menggerakkan motor luaran yang nescaya kita akan melihat diri-diri dan jiwa-jiwa kita berada dalam program, umum mahupun khusus, tetapi juga menggerakkan kincir-kincir dalaman yang kekadang berkarat dan memerlukan pelincir yang lebih untuk melajukannya. Iya, kita bercakap tentang tarbiyyah dzatiyyah, bagaimana ia mampu menggerakkan ruh dan spiritual individu  untuk melangkau lebih jauh, tidak untuk orang lain melainkan diri sendiri. Bahkan ia tidak semestinya dalam bentuk Islami, tetapi juga skil-skil yang memerlukan pengalaman dan kemahiran yang tinggi.

Hal-hal yang sedemikian merupakan satu esensi yang sangat-sangat kritikal dalam membentuk kendiri dan kapabiliti seorang akh. Hal ini ialah seperti memandu, memasak untuk kuantiti yang besar, pemetaan, skil komunikasi, multimedia, dan lain-lain. Meskipun ia bukan tarbiyyah islamiyyah, tetapi ia mampu membantu dan memacu usaha dakwah dan tarbiyyah dalam tempoh masa yang panjang, bahkan ketiadaan skil-skil ini boleh membantutkan kerja dakwah dan tarbiyyah di sesuatu tempat.

Berkemungkinan pula, apabila kita mengharapkan orang lain yang empunya skil-skil tersebut, hendaklah pula kita ingat, mengharapkan manusia seorang, dia punya kudrat yang terhad, samada apabila tiba masanya dia akan pulang ke tempat asalnya dan ilmu serta skilnya kekal tidak diwarisi, atau dia tidak akan mampu untuk menyelesaikannya. Apalah guna ada ramai orang yang bekerja tetapi skil-skil yang esensi ini hanya milik orang tertentu sahaja?! Dia akan pergi dan skil tersebut hanya dia yang akan kuasai dan mahir akannya. Takkan sudah terhantuk baru hendak terngadah?

Namun begitu, dalam pelbagai perkara ada keutamaannya, ada penting di atas penting, ada urusan di atas urusan. Dalam konteks kita mencelup dengan celupan Allah sebagai seorang pelajar, kita berada di antara ijazah dan risalah. Tentunya kita memahami tuntutan kedua-duanya dan di mana keutamaannya daripada kedua-dua hal tersebut. Dalam masa kita meyakini bahawa jalan risalah ini ialah jalan yang terbaik dan paling utama ke atas kita, kita tidak boleh sekali-kali lupa bahawa kita sedang memikul amanah daripada rakyat untuk belajar, dan kita belajar dengan duit mereka. Apalagi dalam musim kita hampir kepada peperiksaan, lagilah ia membuatkan kita tertanya-tanya di mana letaknya pendirian kita di antara dua jalan.

Seorang akh pernah membawakan satu analogi yang cukup menarik. Sebuah bekas dan beberapa biji bola yang pelbagai bentuk dan saiz, bagaimana kita mengisinya? Kita mengisinya dengan bola-bola yang besar dahulu, kemudian, kita penuhi dengan bola-bola yang kecil. Begitulah keutamaan kita, boleh jadi bola yang besar itu ialah tanggungjawab tarbiyyah dan dakwah, boleh jadi yang besar itu ialah pelajaran, tugasan, dan peperiksaan. Jangan samakan situasi ini dengan meletakkan kerjaya sebagai Muslim-Sepenuh-Masa ke tepi, seolah-olah kita tinggalkan kerjaya dakwah dan tanggungan tarbiyyah untuk fokus kepada studi.

Walhal ianya ialah hal yang berbeda sekali, kerana kita bercakap tentang keutamaan. Dan orang yang tahu dan faham, mengerti tuntutan yang perlu dia penuhi kapan masanya tiba, sekalipun dia tidak meletakkan keutamaan yang besar pada kerjaya dakwah dan tanggungan tarbiyyah, kehidupan dia sendiri sebenarnya berorientasikan hal-hal tersebut. Orang yang memilih untuk mengikut tarbiyyah, kehidupan sehariannya tidak seperti robot atau rutin manusia biasa, sela masanya, dan waktu lapang serta sempitnya terisi dengan kedua-dua hal tadi, samada secara sedar atau tidak, secara rutin atau kebiasaan, kerana Islam telah hidup bersamanya, dan dia hidup bersama Islam.

Sesungguhnya, apa yang tertulis ini tiadalah ia melainkan satu peringatan dan ketukan buat diri saya sendiri, sebelum saya ujarkan pada dunia amnya. Mari sedari diri kita, andai benar kita mahu mencelup diri dalam sibghah Allah, maka tidak perlu ditegakkan benang yang basah untuk mencipta alasan demi membenarkan perlakuan kita menurut hawa nafsu dan sudut pandang kita sebagai manusia lemah. Kalau anda mengerti dan memahami, apa-apa janji manis sekalipun tidak mampu untuk menandingi janji manis Allah dan amaran keras-Nya.


Suka-Duka Daulah Uthmaniyyah


Daulah Uthmaniyyah Berwarna Ungu


Jatuh bangun, suka duka merupakan lumrah dunia yang telah dicipta Allah, begitu pula akan isi-isinya tidak lepas dari sunnah yang telah ditetapkan Allah SWT. Dalam perkembangan Daulah Uthmaniyyah mengorak kepimpinan dan teraju dunia Islam ia tidak terlepas dari tersadung kerana kelemahan dan kealpaan, dan naik kerana kefahaman yang jitu akan deen Islam. Namun, dalam ketentuan itu juga, taqdir Allah menetapkan pembukaan Kota Konstantinopel dalam salasilah Uthmaniyyah ini.

Ourkhan I

Beliau menggantikan ayahnya Uthman setelah mangkat pada 726 Hijriyyah 1326 M, seorang yang gagah perkasa dan terdidik baik semasa zaman ayahanda dan nenendanya. Beliau juga pernah memimpin peperangan yang besar semasa zaman mereka.

Memindahkan pusat khilafah dari Iskisyhar ke Brossa. Seterusnya melantik adiknya, ‘Ala`uddin (baca: ‘Ala `uddin: agama tertinggi) menjadi Perdana Menteri. Di sinilah bermulanya sejarah perlantikan ‘Perdana Menteri’ yang disebut dengan ‘Sadr ‘Azam’. Baginda turut merekrut tentera yang lebih teratur yang terkenal dengan panggilan ‘Inkisyariah’.

Menakluk Kota Izmid (Nicomidia), Nikia (kota kedua terbesar selepas Constantinople) , seluruh Pantai Marmora, dan Galipoli (yang dipimpin oleh anaknya, Sulaiman)

Mangkat kerana terlampau sedih dengan pemergian anaknya yang jatuh dari kuda ketika berburu (761 Hijriyyah 1359 M).

Murad I

Adik kepada Sulaiman, menggantikan takhta Ourkhan I. Seorang yang hebat seperti ayah dan datuknya juga.

Menakluk Ankara sejurus selepas menaiki takhta, Adrianople (763 Hijriyyah) tanpa banyak penentangan, dan Philopopolis.

Kota Philopopolis merupakan satu kota aset yang menjadi kunci kepada jaringan kerajaan-kerajaan Byzantium dan Serbia. Kaisar Byzantium terpaksa mengakui Daulah Uthmaniah kerana tidak lagi mampu mengelaknya. Daulah Uthmaniyyah menjadi lima kali ganda lebih besar dengan penaklukan kota tersebut.

Memindahkan Kota Khalifah ke Adrianople kerana memahami peri pentingnya kota tersebut dari aspek politik, mahupun peperangan.

Kerajaan-kerajaan Balkan di Eropah Timur (Hungary, Serbia, Bosnia, dan Montenegro) enggan tunduk kepada Daulah Uthmaniyyah dan melakukan penentangan pada kesempatan yang mereka dapati.

Perkembangan pesat Daulah Uthmaniyyah mengundang cemas di antara kerajaan-kerajaan Kristian Balkan, sehingga memohon bantuan Paus Urbanus V untuk menjadi orang tengah di antara mereka dengan raja-raja Eropah Barat untuk membendung kepesatan Daulah Uthmaniyyah.

Paus Urbanus V memberi perhatian serius kepada seruan tersebut, lantas mengirim surat kepada raja-raja Eropah Barat untuk bersiap-siap berjihad menentang ‘kafir’ yang merbahaya itu lantas memelihara keagungan Nasrani.

Walaubagaimanapun, Qurok V, Raja Serbia tidak mampu bersabar menanti bantuan yang ditunggu, maka dia bermesyuarat dengan Raja Bosnia dan Falakh, dengan disokong beberapa ribu pahlawan bangsa Maghyar untuk menyerang Adrianople. Tentera Islam bangsa Turki yang mendengar khabar tersebut menyambut tentangan mereka di Pantai Laut Maritza. Mereka menyerang sekutu Serbia itu secara tiba-tiba, lantas mengucar-ngacirkan barisan tentera bersekutu itu, dengan perasaan takut, mereka meninggalkan medan perang. Paus Urbanus merasa dukacita atas kekalahan tersebut, dan Sultan Murad I memasukkan Pergunungan Balkan dalam Wilayah Daulah Uthmaniyyah.

Kaisar Constantinople tidak kurang gelabahnya melihat kegahan Daulah Uthmaniyya ketika itu. Dia sanggup menghinakan dirinya dengan pergi ke Rom untuk mengadap Paus, mencium tangan dan lutut, serta hujung jubah Paus kemudian mengerjakan sembahyang terhadap Paus mengikut ajaran mazhab Katolik demi mendapatkan bantuan daripada Paus meskipun ketika itu pertelingkahan mazhab Ortodoks anutan di Byzantium dan mazhab Katolik di anutan di Rom. Dia pulang dengan kekecewaan, bahkan dimarahi rakyat kerana merendahkan diri kepada Paus, begitu pula dimarahi Turki.

Murad I membuka lagi wilayah Islam ketika itu dengan meluaskan perluasan kuasanya ke Eropah Timur. Dibukalah Samakov, Sofia, Monatsir, Nice Serys, dan Salonika, manakala raja-raja Serbia dan Bulgaria membayar jizyah kepada Daulah Uthmaniyyah. Baginda Sultan turut menundukkan Raja-Raja Asia Kecil yang merupakan bekas pecahan dari kerajaan Saljuk.

Tentera Azhab yang baharu dibentuk pula daripada Raja-Raja Lazar dari Serbia, dan Sisman, raja Bulgaria untuk memerangi Turki. Mereka kemudiannya dibantu oleh Raja-Raja Bosnia, Falakh Albania, Herzegovina, tentera utusan Raja Maghyar dan Poland. Dengan jumlah yang besar itu mereka yakin bahawa mereka akan menang dalam peperangan kali ini.

Ketika itu Sultan Murad I telahpun tua, namun beliau masih gagah dan berani, turun ke medan peperangan memimpin pertempuran yang hebat itu dan Allah memenangkan tentera Islam pimpinan baginda.

Ketika baginda bersama tentera yang lain melihat dan memeriksa medan peperangan, seorang tentera bangsa Serbia menikam Sultan Murad I di bahagian rusuk baginda dengan sebilah pisau pendek, sehingga baginda rebah dan mati ketika itu juga (791 Hijriyyah 1389 M).

Bayazid

Menggantikan takhta ayahnya selepas kemangkatan baginda. Seorang yang gagah dan digelar ‘Yaldrum’ yang bererti kilat kerana kepantasannya menyerang negeri lawan.

Baginda meneruskan perluasan wilayah Daulah Uthmaniyyah dengan mengiktiraf Prince Stephen (Putera Lazar) sebagai Raja Serbia yang bebas mengamalkan agama mereka sendiri, dengan syarat membayar jizyah kepada Daulah Uthmaniyyah, dan memberikan bantuan ketenteraan ketika perang dengan jumlah tertentu. Prince Stephen menerima syarat-syarat tersebut dan mematuhinya dengan setia.

Baginda membuka benteng Philadelphia yang merupakan sisa terakhir dari kota-kota Rom di Asia Kecil (1391), Eiden, Sarukhan, dan Muntasha. Baginda menggabungkan Kerajaan Qurman ke dalam Daulah Uthmaniyyah pada 1392. Membuka Samsun, Kisariyah, Siwas, Tukat dan Kastamoni (1393-1394). Dengan itu, sisa-sisa pecahan bani Saljuk kembali bernaung di bawah Daulah Islamiyyah sekali lagi.

Pemerintah-pemerintah Eiden, Sarukhan, dan Muntasha melarikan diri ke Kastamoni, sebelum melarikan diri sekali lagi bersama-sama pemerintah-pemerintah Samsun, Kisariyah, Siwas, Tukat dan Kastamoni ke Timurlane.

Dengan naiknya Bayazid dan bertambah luasnya Daulah Uthmaniyyah, kerajaan Kristian Eropah terdesak untuk bersatu. 1395, Raja Sigmund dari Maghyar (Hungary) bersungguh-sungguh meminta Paus menggunakan pengaruhnya untuk membangkitkan semangat seluruh Kerajaan Eropah supaya bangkit dan bersatu menentang Bayazid.

Paus Bonifacius memberi perhatian yang besar kepada seruan Raja Sigmund dan menyeru Raja-Raja dan rakyat Eropah untuk melakukan perang salib sekali lagi dengan Daulah Uthmaniyyah. Beliau juga menawarkan Ampunan Besar kepada yang mengikuti peperangan tersebut.

Seluruh Eropah mula bangkit, berbondong-bondong ahli perang, tentera-tentera, para ridder dan orang ternama dari Perancis, Inggeris, Scotland, Jerman, Vlaanderen, Lombardi, Savoy, Genua, Transalvania, Moldavia, Bosnia, Rhodes dan Falakh datang berkumpul di Hungary. Venetia dan pulau-pulau sekitar Itali menyediakan armada laut yang besar pula.

Mereka merancang untuk melakukan serangan serentak dari laut dan darat, dan menghapuskan sekonyong-konyongnya kerajaan Islam itu dan kemudian ke Baitul Maqdis untuk merebut kembali tanah suci tersebut, kemudian menakluk Syam dan Asia.

Bayazid sang Yaldrum tidak sedikitpun gentar dengan ancaman tersebut. Mereka bertemua dan bertempur di Nikopoli dengan sangat dahsyat dan hebat. Peperangan tersebut dimenangi oleh Bayazid. Tentera salib menjadi huru-hara dan kucar-kacir sehingga banyak orang-orang besarnya tertawan (Zulhijjah 789 Hijriyyah September 1396 M).

Baginda kembali ke Adrianople dan meninggalkan beberapa bahagian tenteranya mengepung Constantinople.

Baru sahaja selesai peperangan, Timurlane pula ingin menjarah Asia kecil. Menggunakan alasan Daulah Uthmaniyyah tidak mahu menyerahkan Ahmad Jalayar yang merupakan pemerintah Iraq, maka Timurlane membuat serangan besar-besaran ke atas wilayah Daulah Uthmaniyyah. Ada di antara pemerintah-pemerintah yang berlindung dengan Daulah Uthmaniyyah, dan ada pula yang segera berlindung dengan Timurlane kerana mahu mendapatkan kembali negeri mereka.

Berita peperangan ini tersebar luas sehingga ke Eropah Timur dan turut didengari oleh Kaisar Byzantium, lantas bergembiralah tentera kuffar itu sambil berkirim surat tanda syukur dan gembira bagi Timurlane.

Bayazid dan Timurlane, kedua-dua mereka sangat keras dan kejam. Daripada berbalasan surat yang keras, sehinggalah membawa kepada peperangan. Akalnya menjadi kurang seimbang dengan kewarasan lantas dia lupa imbangan kekuatan dengan hanya membawa 120 000 tentera menentang 800 000 tentera Timurlane.

Selain faktor jumlah, beberapa faktor lain turut menyumbang kepada kekalahan Bayazid, peperangan tersebut berlangsung di musim panas, dan tentera Bayazid yang berbangsa Tartar menyebelahi Timurlane apabila melihat raja mereka bersama Timurlane. Bayazid, dan puteranya Musa dan Artugrul tertawan (804 Hijriyyah, 1402 M).

Dengan tertawannya Bayazid, baginda dikurung dalam keranda besi dan diangkutlah akan dia ke mana sahaja sehingga meninggal pada 1403 Masihi.

Kerajaan Uthmaniyyah menjadi kucar-kacir apabila Bayazid mangkat. Negeri-negeri yang terlepas dari pemerintahannya dibangunkan semula oleh Timurlane dan diserahkan kembali kepada pemerintah-pemerintah yang memihak kepadanya.

Anak-anaknya sendiri tidak mampu untuk menyatukan khilafah yang berpecah kerana masing-masing ingin berdikari. Musa yang tetap berada dalam tawanan sehingga Bayazid mati. Mustafa mati dalam peperangan, maka tinggallah Sulaiman, Isa dan Muhammad.

Masing-masing membawa diri ke tempat yang berbeza-beza, Sulaiman ke Adrianople, Isa ke Brossa, and Muhammad ke Amasia, masing-masing mengangkat diri menjadi sultan dan khalifah. Situasi bertambah rumit apabila Timurlane membebaskan Musa.

Setelah setahun menjarah Asia Kecil, Timurlane bersama tenteranya yang besar, pulang ke Samarkand membawa harta rampasan yang amat banyak dan meninggalkan negeri-negeri tersebut punah-ranah, hancur, tinggal runtuhan puing-puing sahaja.

Kerajaan-kerajaan Kristian barat tidak tertahanlah akan gembiranya mereka melihat Daulah Uthmaniyyah yang telah bobok dan bobrok lantas dikirimnya surat tanda gembira bukan kepalang kepada Timurlane, serta yakinlah mereka bahawa mereka bebas hendaknya daripada marabahaya Turki selamanya.

Muhammad I

Dia juga disebut dengan mana Muhammad Jalby, putera Bayazid paling kecil. Raja-raja Eropah menyangka bahawa nasib baginda akan seperti pemerintah-pemerintah Asia kecil yang lain dan tidak akan bangkit lagi.

Namun, Muhammad I merupakan seorang yang penyabar dan bijaksana serta tabah hati. Dia menyusun strategi yang baik untuk membangunkan kembali Daulah yang telah jatuh. Satu demi satu kekanda-kekandanya dapat dikalahkan, sehingga 10 tahun berperangan sesama saudara.

Baginda kemudian berdamai dengan Kaisar Byzantium, dan dikembalikan beberapa wilayah Byzantium di pantai Laut Hitam. Kemudian berdamai pula dengan Repbulik Venesia setelah hancur armada lautnya di Galipoli. Setelah situasi di Eropah Timur kembali mereda, baginda mengalih pandangannya untuk menyelesaikan Asia Kecil pula.

Seorang lelaki yang mendakwa dirinya ialah Mustafa yang diberitakan mati dalam peperangan menuntut haknya untuk menjadi raja kerana dialah putera Bayazid yang sulung. Muhammad I kemudian memerangi lelaki ini di Salonika sehingga dia lari berlindung dengan Kaisar Byzantium.

Sebelum mangkat pada 824 Hijriyyah 1421 M, baginda berjaya menyusun kembali Daulah Uthmaniyyah dan menakluk kembali beberapa negeri yang telah terlepas. Maka tercengang-cenganglah kerajaan-kerajaan Eropah akan pemulihan yang amat cepat tersebut.

Murad II

Menggantikan takhta ayahnya pada usia 18 tahun dan meneruskan siasah ayahnya berdamai dengan kerajaan-kerajaan Eropah Timur, dimulai dengan Prince Qarman untuk tidak berperang selama lima tahun, dan kemudian hal yang sama dengan Raja Hungary.

Kerana usianya yang muda dan dia menggunakan siasah perdamaian, maka diperbudakkanlah akan dia oleh raja-raja Eropah bahawa dia hanya seorang remaja dan tidak perlu disegani.

Maka pernahlah satu ketika Kaisar Byzantium, Manuel menjemput dua orang adik Sultan Murad II ini ke istananya di Constantinople, konon-konon mahu diajarkan adat istiadat kebangsawanan. Cerah akalnya Sultan Murad yang muda ini tersenyumlah menolak tawaran tersebut seraya berkata haram bagi seorang Muslim menerima didikan dari orang Nasrani.

Melihat penolakan itu, maka tercabarlah Kaisar Manuel itu dan dibebaskanlah dia akan Mustafa putera sulung Bayazid itu dan disuruhnya memberontak dengan diberi bantuan bersyarat; yakni seandainya dia menang, negeri-negeri dari wilayah Byzantium itu diserah kembali kepada Kaisar. Namun, ketika hendak menyeberangi Dardanella ke Asia, tertipulah dia akan muslihat Murad II yang muda, lantas dibunuh.

Melihat kemenangan tersebut, Kaisar menghantar utusan mengucap tahniah, namun tidak diacuh oleh baginda sultan, malah dihantarnya pula 20 000 orang tentera mengepung Constantinople. Namun, tidak lama apabila ada pemberontakan dia Asia Kecil yang turut disertai oleh adik kandungnya, Mustafa atas hasutan Kaisar Byzantium, namun dapat dikalahkan jua.

Kaisar Manuel mangkat setahun kemudian dan diganti dengan Johanes Paliolog, namun tidak secerdik ayahnya. Apabila menaiki takhta, diadakan perjanjian antara baginda dengan Sultan Murad II dengan ianya ditulis oleh Sultan Murad II sendiri. Maka bayarlah Byzantium akan Jizyah kepada Daulah Uthmaniyyah dan kota-kota sekelilingnya diserahkan kepada Turki, begitu juga Salonika.

Baginda menakluk Albania, dengan Selatan dikuasai oleh Daulah Uthmaniyyah dan di bahagian Utara membayar jizyah kepada Daulah tersebut oleh Jean Castriota penduduk asal Albania. Dia turut menyerahkan empat orang anaknya yang kecil-kecil untuk berkhidmat di dalam Istana dan dididik. Selepas itu Falakh pula, dan Oswald Dracula berjanji membayar jizyah.

Eropah kembali terancam dengan kemaraan Daulah Uthmaniyyah, cemas dan bimbang. Raja Sigmund sekali lagi meniup semangat perang salib ke Eropah, mengajak Prince Qarman untuk bersama menyerang Daulah Uthmaniyyah. Setelah selesai, putera-putera di Falakh dan Serbia pula memberontak, namun dapat ditundukkan oleh Sultan Murad II, Raja Sigmund pula terpaksa menanggung akibatnya apabila Hungary diserang dan 70 000 orang penduduk dijadikan tawanan perang dan dihalau ke Turki.

Beberapa siri peperangan dan pemberontakan selepas itu turut dimenangi baginda. Namun, seperti fitrah roda, kapan di atas, akan ke bawah semula, kekalahan demi kekalahan pula menimpa Daulah Uthmaniyyah.

Kekalahan dua kali berturut-turut menentang Jean Hunyade dari Maghyar di Hermanstade dan Vassag membuatkan raja-raja Eropah terangsang untuk melancarkan perang salib yang baharu. Paus Eugene VI turut berminat untuk mengusir dan memusnahkan Daulah Uthmaniyyah sehingga tentera-tenteranya sendiri dihantar di bawah pimpinan Kardinal Julian Cesarini. Untuk menampung perbelanjaan peperangan tersebut, beliau menghantar utusan-utusan ke seluruh Eropah untuk menjual sijil pengampunan (indulgences) yang amat laku.

Tentera Salib dibentuk lagi selepas diperkenan raja-raja Eropah dengan disertai hungary, Poland, Perancis, Venetia, Jerman, Genua, Falakh, Bosnia, dan Serbia. Angkatan tersebut dikepalai oleh Hunyade dari Hungary, Ladeslase Raja Hungary, dan Kardinal Cesarini, wakil Paus Eugene VI.

Ketika tentera salib menyerang wilayah Daulah Uthmaniyyah, Sultan Murad II ketika itu sedang membersihkan pemberontakan pemerintah Oarman di Asia Kecil, maka segeralah tentera Salib bergerak mengepung Selat Dardanella dengan maksud untuk menghalang Sultan dari pulang untuk memimpin peperangan.

Namun, baginda sultan dapatlah menyeberang selat tersebut sebelum ketibaan armada laut sekutu salib.

Di Nice terjadi pertempuran di antara tentera Islam dan Kristian, dan sekali lagi, baginda telah dikalahkan oleh Hunyade. Dia berjaya merampas Sophia dan kemudian mengalahkan tentera Islam lagi di Yelevaz, sehinggakan disangka bahawa Hunyade itu akan terus memimpin ribut pertempuran salibiyyah sehingga menjilat bersih Bani Uthmaniyyah. Tetapi Allah merencanakan bantuan-Nya di mana Hunyade berhenti di pertengahan jalan seolah-olah ada satu kekuatan yang menanti mereka di hadapan, lalu berundurlah para salibiyyin.

Sultan Murad II, selepas pengunduran tersebut tiadalah lagi mengejar mereka itu, kerana dihitungnya bahawa tenteranya akan lelah benar-benar dengan kekalahan yang berturut-turut itu, maka dianjurlah akan dia perdamaian yang disambut baik Hunyade. Dalam perjanjian tersebut, baginda menyerahkan Serbia, seluruh kota-kota dan bentengnya kepada George Brankowitsh dan memulangkan Falakh kepada Dracula, serta tidak berperang di antara mereka selama 10 tahun lamanya. Demi menguatkan perjanjian itu, pada 848 Hijriyyah 1444 M, diadakan perjanjian suci dengan Raja Ladeslase bersumpah dengan kitab Injil dan sultan Murad II dengan mengangkat al-Quran.

Jelaslah kepada baginda Sultan akan banyak kerugian yang menimpanya, namun dihadapinya dengan tabah. Namun, kematian putera sulungnya, ‘Ala`uddin menjadikan hatinya luluh kepada dunia dan timbul perasaan zuhud yang mendalam amat, serta benci kepada kebesaran dan keduniaan.

Maka dia pun meninggalkan kerajaan untuk pergi ber‘uzlah di Maghnisia dan kerajaannya diserahkan kepada Muhammad II, puteranya yang kedua ketika itu berumur 14 tahun. Selain seorang pemimpin yang bijaksana dan gagah berani, beliau juga dikenali sebagai ahli tasawuf dan filsafat yang mendalam.

Namun, baru sahaja khalwatnya hendak dimulakan, bencana lain yang menggugah kerana ketika itu Kardinal Cesarini melihat peluang yang baik baginya dan sekutu-sekutunya untuk mengusir Turki dari Eropah.

Kardinal setelah mendapat perkenan Paus tiadalah berlengah lagi melainkan dia memanjangkannya kepada Raja Ladeslase, namun raja tersebut merasa berat mengenangkan perjanjian suci di antara dirinya dengan Murad II yang telah dipatri dengan Injil dengan al-Quran. Maka Kardinal Cesarini sambil membuat isyarat salib di dadanya bersumpah dengan nama Triniti bahawasanya ‘melanggar perjanjian dengan ‘Orang Kafir’ Islam tidaklah berdosa, bahkan ia perbuatan terpuji ‘Tuhan Ayah, Tuhan Anak dan Ruh Kudus’ kerana perbuatan itu ialah demi kepentingan Tuhan.

Raja Ladeslase merasa amat berat kerana melanggari janji adalah sangat hina sebagai seorang Ridder. Namun setelah Paus berkirim surat menawarkan baginda pengiktirafan sebagai Raja Bulgaria, bergelojaklah nafsu dunianya bersetuju.

Kemudian, bergabunglah Raja Serbia dalam pakatan khianat itu, disusuli pula oleh Kaisar Constantinople bagi mengukuhkan lagi barisan tentera ahzab itu bagi membersih Eropah dari kewujudan DaulahUthmaniyyah.

Berita tersebut semakin tersebar luas, sehinggakan Kerajaan Inggeris, Perancis, Bourgondia, Milan, Florensia, Venetia, dan Genua turut bergabung dalam pakatan tersebut.

Rancana yang tersusun mengarahkan armada laut Paus, Venetia dan Genua untuk mengepung Selat Dardanella dahulu dengan penuh kerahsiaan, bagi menghalang Sultan untuk menyeberang ke Eropah dengan dibantu oleh Kaisar Constantinople. Prince Qarman di Asia Kecil pula akan melakukan serangan dari sebelahnya serentak apabila tentera salib bersekutu dari Eropah memulakan serangannya.

Ketika itu berlaku gempa bumi besar di Hungary seolah-olah tidak memberi perkenan membawa nama Agama dan nabi Isa untuk memungkiri janji suci tersebut. Rakyat menjadi takut dan merasakan bahawa ada bahaya yang menanti.

Maka bergeraklah tentera salib bersekutu melalui lembah-lembah Bulgaria dan dalam perjalanan mereka, merompak, menjarah, merampas dan membunuh. Bukan sahaja ruah orang Islam dibakar malah gereja-gereja Rom dan Bulgaria turut dirompak isinya. Orang Islam dijadikan tawanan dan dicampak daripada puncak bukit. Ada yang diregangkan tangan dan kakinya, ada pula yang diinjak-injak oleh kuda.

Berita marabahaya itu sampai sudah kepada kaum Muslimin di Adrianople dan Sultan Muhammad II tentulah tidak berdaya menghadapi kemaraan tentera Salib itu, maka dijemput panggil semula Sultan Murad II dari ‘uzlahnya. Terus sahajalah Sultan Murad II menanggalkan jubah sufinya dan menyisip pedang di pinggang dan dengan pantas kembali ke Adrianople.

Di sini jelas bedanya di antara Sultan Murad II dengan kesufiannya daripada ahli sufi yang lain. Baginda tidak meninggalkan pentadbiran kaum Muslimin terkontang-kanting sahaja, bahkan lagi segera meninggalkan ‘uzlahnya untuk menegakkan Islam kembali.

Sekembalinya baginda ke Adrianople, diutus seseorang untuk bertemu dengan ketua armada laut Genua sambil membawa satu tawaran. Maka bersetujulah akan dia dengan penuh semangatnya untuk membantu menyeberangkan 40 000 orang tentera Turki dengan kapal-kapal armada laut Genua. Armada laut salib yang lain hanya mampu melihat dan ketua armada laut Genua pula mendapat 40 000 dinar emas.

Peperangan yang ngeri dan dahsyat berlangsung pada hari kedua selepas tiba di Warne. Sultan mengikat ‘Surat Perjanjian Damai’ yang dibuat di Szoegeddin dengan menjunjung al-Quran dan Injil, namun tidak dihiraukan oleh tentera salib. Bahkan, mereka semakin menghambat sehingga memberikan asakan yang kuat kepada kaum Muslimin.

Tentera Islam bersama sultan Murad II hampirlah berundur kerana asakan tersebut. Baginda berasa sayu, hampa dan hampir lemah semangatnya, namun dibalas melodi emosinya itu dengan sorakan dan gesaan ‘Jangan berundur!’, sedarlah baginda.

Ketika itu Raja Ladeslase sudah hampir dengan baginda untuk menetak kepala Murad II namun sempat dimatikan dengan menusuk tombaknya yang panjang sehingga tembus ke punggung, lantas jatuh ke kaki kuda sultan Murad II. Seorang tentera Inkisyariah segera turun dari kudanya dan memancung kepala Ladeslase dan ditancapkan tombaknya ke kepala raja itu seraya dijulang-julang sambil memekik; “Hai segala kafir! Inilah kepada rajamu!”

Seruan tersebut disambut oleh tentera Islam dengan pekikan takbir; “Allahu akbar!” maka kecutlah perut tentera-tentera salib melihatkan kepala raja mereka yang tertancap pada tombak tersebut, dan patahlah semangat mereka. Kesempatan ini diambil oleh tentera Islam untuk mengasak musuh, maka bersimpang-siurlah berlarian tentera-tentera salib itu. Kardinal Cesarini dibunuh kerana sifat kecutnya dan mulutnya yang lebih dari tindak-tanduknya.

Kaisar Constantinople sendiripun berasa gusarlah baginda, lantas diutus seseorang untuk dibuat perjanjian damai yang baharu. Sultan Murad II menerima perjanjian tersebut dan memberikan perlindungan kepada Kaisar .

Baginda meninggalkan pula hasratnya untuk menyambung ‘uzlah apabila anaknya Muhammad II itu masih belum mampu untuk membina tsiqah ke atas dirinya. Untuk mengambil semula takhta itu, dibuatnya muslihat kerana anaknya Sultan Muhammad II itu bukan mudah untuk dikendalikan. Maka sekembalinya Muhammad II dari berburu, dilihatnya ayahanda sultan telah berada di singgahsana dan tentera Inkisyariah telah dapat dijinakkan, fahamlah dia dan diterimalah akan kenyataan itu.

Muhammad II kemudian ditugaskan menjadi gabenor di Maghnesia.

Baginda Sultan Murad II menundukkan kembali Duke Florensa, Neiro Acciaveli dan semuanya tunduk kembali di bawah Daulah Uthmaniyyah 850 Hijriyyah 1446 M. George Castriota, anak angkatnya dari Albania Utara yang telah memeluk Islam dengan nama Iskandar Bey kemudian murtad kembali dengan memakan gelaran ‘Tentera al-Masih, Prince Albania dan Epirus’.

Hunyade yang lari semasa pertempuran di Warne diangkat menjadi Gabenor Negara Hungary, dan putera Ladeslase naik takhta dengan memakai nama yang sama.

Setelah melihatkan sultan tidak mampu menundukkan George Castriota selama 18 bulan, Hunyade mengambil kesempatan untuk menyerang sultan secara besar-besaran. Namun, sultan tidak berlengah, lantas ditinggalkan Albania untuk memerangi Hunyade.

Hunyade menolak tawaran perdamaian oleh Sultan Murad II, maka bertempurlah mereka dengan dahsyatnya di Lembah Kousuh tiga hari tiga malam sehingga membawa kemenangan di pihak Daulah Uthmaniyyah.

Baginda pulang ke Adrianople setelah pergi ke Albania untuk menundukkan George Castriota yang tetap tidak mahu beralah, dan dilangsungkan perkahwinan Gabenor Muhammad II dengan Puteri Sulaiman Bey di Zil Qadr.

Sultan Murad II mangkat pada 3 Muharram 855 Hijriyyah, 5 Februari 1451 M.

Muhammad II

Baginda menaiki takhtanya semula pada umur 22 tahun pada tarikh 16 Muharram 855 Hijriyyah 18 Februari 1451 M.

Bani Uthmaniyyah merasakan bahawa kekuasaan wilayah mereka di Eropah Timur dan Asia Kecil tidak akan kukuh melainkan tertawannya Constantinople.

Melalui sultan-sultan yang terdahulu, dapatlah ditundukkan Eropah Timur sehinggakan Kerajaan Byzantium terkepung oleh Daulah Uthmaniyyah, membuatkan mereka terasa dengan penuh yakin bahawa Daulah Uthmaniyyah itu tidak bisa lagi ditentang dengan mata pedang di medan perang, bahkan jatuh bangunnya Empayar Byzantium ketika itu hanyalah bergantung kepada belas Daulah Uthmaniyyah.

Tiada lain yang membuatkan mereka mampu berdiri melainkan helah yang telah berkali-kali dibuat demi memastikan kerajaan tersebut masih berdiri.

Demi merealisasikan hadith baginda nabi, dan meneruskan upaya ayah dan nenek moyangnya terdahulu, Sultan Muhammad II mengkaji dan mempelajari selok-belok Konstantinopel dan menyediakan kelengkapan yang cukup agar nanti tidak gagal rencananya. Baginda turut membuat perdamaian dengan Kaisar selama beberapa tahun.

Gabenor-gabenor di Asia Kecil memberontak dengan diketuai oleh Amir Karmiyan, Ibrahim menuntut hak dengan mengangkat senjata. Sultan menghantar tentera di bawah pimpinan Ishak Pasha, Amirul Umara` di Anatolia untuk menundukkan mereka, kemudian diikuti oleh Sultan. Pemberontakan berjaya ditundukkan.

Baginda mengikat perjanjian damai, tidak serang menyerang dan memulangkan beberapa hak kepada putera-putera, Raja Hungary, Bosnia dan Republik Venetia. Dengan Hunyade, perjanjian tidak serang-menyerang dibuat selama tiga tahun.

Tempoh perjanjian itu diambil kesempatan oleh baginda untuk membina benteng yang tegap dan kukuh di pinggir Bosphorus berdekatan dengan benteng yang dibina oleh datuknya Bayazid. Sultan turut sama turun padang, sama-sama bekerja, membuka baju dan serbannya sehinggakan para ulama` dan pasha terpaksa turut sama bekerja. Bertambahlah semangat tentera Uthmaniyyah ketika itu.

Kaisar menjadi kaget dan cuak melihat situasi itu, sehinggakan orang utusan yang dihantarnya tidak lagi meminta belanja untuk pak cik Sultan Muhammad II, tetapi untuk memohon pembinaan tersebut dihentikan. Maka Sultan menjawab bahawa benteng tersebut tidak dibina untuk menyerang Constantinople tetapi untuk menjaga daulahnya sendiri dan memelihara kekuasaannya di Eropah Timur dan Asia Kecil.

Sultan Muhammad II turut mengatakan kepada utusan tersebut bahawasanya dia bukan seperti nenek moyangnya, kerja yang telah dia mulai, tiada seorangpun yang bisa membantah. Dan Kaisar tidak perlu menghantar lagi utusannya, seandainya dihantar lagi, maka kepalanya sahaja yang akan dikirimkan kembali.

Dalam tiga bulan sahaja benteng tersebut siap dibina, dengan nama Rumli Hisar (Benteng Rumawi) membuatkan namanya begitu gerun dan dahsyat didengari.

Bagi melancarkan perjalanan pembukaan Kota Constantinople, baginda mengutus salah seorang Ketua perangnya, Tarkhan Pasha menemui penguasa negeri Mora iaitu Thomas, dan Demitrius yang merupakan adik kandung Kaisar memberitahu tentang penaklukan tersebut dan memberi nasihat kepada mereka berdua supaya berdiam sahaja dan tidak membantu.

Kaisar pernah memujuk Sultan Muhammad II semasa musim dingin untuk menarik niatnya, namun dijawab kembali, “Kalau Kaisar tidak mahu berperang, serahkan sahajalah Kota Constantinople dengan baik!” baginda turut berjanji untuk setiap penduduk berasa aman, tiada yang akan diganggu, tiada harta yang akan dirampas, siapa yang ingin meninggalkan kota tersebut tidak akan dihalang. Kaisar pastilah tidak sanggup menerima tawaran itu, bahkan semakin kecut hati baginda akan kemaraan Daulah Uthmaniyyah yang tidak dapat ditahan-tahan lagi.

Kaisar mencuba untuk menyogok menteri-menteri sultan untuk mengalihkan perhatian baginda, namun tetap tidak berjaya. Dia juga meminta bantuan Eropah, baik Timur mahupun Barat, namun Sultan telah membuat perjanjian damai dengan Eropah Timur dan Eropah Barat tiada yang mahu membantu di saat-saat ini melainkan Genua yang mengirimkan armada laut yang tidak berapa besar di bawah pimpinan Justinian.

Ketika kota itu sedang hebat dikepung, di dalamnya perdebatan antara Katolik dan Ortodok sangat aktif berlangsung, dan mereka saling bertelingkah dan berpecah-pecah, sehingga menjadi salah satu faktor utama kegagalan pertahanan kota tersebut. Ada yang mahu bersatu dengan Rom Katolik, ada pula yang tidak.

Sembilan bulan kota tersebut dikepung, akhirnya penantian itu akan mencapai pengakhirannya. Serangan dimulakan, namun kapal-kapal perang Turki tidak mampu bergerak kerana rantai-rantai yang memagari selat Bosphorus yang sempit itu. Tetapi sultan tidak mudah melatah, dia mendapat idea.

Di malam harinya, 70 buah kapal dipindahkan melalui daratan sejauh tiga batu, dengan ditolak atas batang-batang kayu yang dilicinkan dengan minyak sehingga mudah dipindahkan. Esok paginya, penduduk Constantinople menjadi terkejut melihat kapal-kapal perang Daulah Uthmaniyyah telah melepasi rantai-rantai tersebut.

Bermulalah serangan besar-besaran dan serangan tersebut diperhebat lagi dengan bantuan Urban, seorang pembuat meriam dari Yunani sehinggakan bangunan tersebut banyak rosak akibat serangan meriam tadi. Tentera Islam dapat memasuki juga kota tersebut meskipun dilindung dan dipertahan hebat oleh penduduk Constantinople.

Justinian lari dan Kaisar mati dalam peperangan tersebut. Maka berakhirlah generasi Kaisar Byzantium, tiadalah lagi selepasnya. Dan jatuhlah Constantinople ke tangan umat Islam.

Menjelang waktu zohor, sultan memasuki kota tersebut sambil menunggang Jambulat, kuda baginda. Dengan diiringi pekikan takbir. Tiba di hadapan gereja Aya Sophia, baginda sujud ke bumi mengucapkan syukur kepada Allah dan diambilnya segenggam tanah dan ditabur di atas kepalanya sendiri sebagai tanda kerendahan di hadapan Allah meskipun dia telah berjaya membuka kota tersebut.

Baginda menukar beberapa gereja menjadi masjid, seperti Masjid Aya Sophia, dan lain-lain. Beberapa orang pendeta Nasrani memeluk Islam menyaksikan akhlak baginda menegakkan keadilan, terutama ketika baginda menghukum tentera Islam yang berbuat bising di dalam gereja, mengganggu pendeta Nasrani.

Ketika memasuki Istana Kaisar, baginda bersyair; “Labah-labah telah membina sarangnya dalam istana maharaja, dan burung hantu telah bernyanyi dengan lagu dukacita.

Baginda juga memberi layanan yang baik kepada Uskup dan membantu mereka untuk melantik seorang Patrick, serta membiayai segala perbelanjaan untuk perlantikan tersebut. Seterusnya mengharapkan agar Uskup-Uskup serta Patrick tadi untuk bersungguh-sungguh melaksanakan agama mereka dan membersihkan perselisihan antara mereka. Patrick tadi berasa amat terharu dan mengatakan kepada dirinya Kaisar-Kaisar kami sendiri tidak pernah melayani kami sebegini.

Maka jadilah Patrick tadi seperti mana terjadi di negara kita sekarang, bahawa dia menjaga adat-istiadat dan hal ehwal orang-orang Nasrani, namun lebih baik lagi, dia setaraf pula dengan menteri-menteri Daulah Uthmaniyyah serta mendapat lindungan Sultan.

Baginda memindahkan ibukota khalifah ke Constantinople.

1458-1460 baginda menundukkan Serbia sehingga ia menjadi tanah takluk Daulah Uthmaniyyah. 1456 membuka Athen, 1460 Mora, kemudian negeri-negeri di Asia Kecil yang belum tunduk seperti Trabzon, 1464 Bosnia ditundukkan dan dibawa ke dalam Daulah Uthmaniyyah, berserta itu, Pantai Krimia juga jatuh ke tangan Daulah Uthmaniyyah. 1477 pulau-pulau Venetia, diikuti Croatia dan Sekudra. 1480, pulau-pulau di hadapan pantai Yunani dan Itali dan akhir sekali baginda menundukkan Toronto, Itali.

Begitulah perjalanan secara ringkas, Perkembangan dan jatuh bangun Daulah Uthmaniyyah sehingga membawa kepada pembukaan Constantinople seperti yang disebut dalam hadith nabi SAW ketika mana baginda memukul batu untuk dipecahkan sedang menggali parit untuk perang Khandak.

Perluasan wilayah tidak dibuat melainkan ia perlu diniatkan hanya kerana Allah, dan ketika mana disedari akan hakikat diri hanyalah hamba, maka Allah akan permudahkan sesuatu urusan itu. Namun, seandainya tertipu, maka janji Allah itu pasti, bahawa sesuatu yang naik pasti akan turun kembali, mengikut sunnahnya. Dan tidaklah ianya mustahil untuk bangkit kembali, seperti yang telah kita telahi dalam sirah Muhammad I bagaimana baginda menyusun dengan sabar dan tekunnya kembali Daulah Uthmaniyyah sehinggalah keturunannya membuka Konstantinopel.

Begitu juga suatu hal yang perlu difahami bahawasanya, menghidupkan Islam itu tidak bererti meninggalkan urusan dunia. Begitu pula dalam kita bertajarrud dan zuhud dari dunia, perlulah difahami dengan sebenar-benarnya, agar kita tidak terpesong. Dalam melakukan pengibadatan kepada Allah SWT, tidak sehingga kita melupakan hak dan tanggungjawab kita di dunia. Akhlak Sultan Murad II amat bagus untuk diteladani.

Dipetik dan disunting daripada Sejarah Umat Islam oleh Prof. Dr. HAMKA.

klik di sini untuk muat turun tulisan lengkap Mukhtasar Daulah Uthmaniyyah bi Fathil Qunstantiniyyah.


Lahirnya Dinasti Uthmaniyyah

Kita seringkali membaca atau menyebut tentang kejatuhan khilafah Uthmaniyyah pada Mac 1924, namun adakah kita mengetahui akan bagaimana khilafah tersebut ditubuhkan? Bagaimana sifat keperwiraan mereka terhadap musuh-musuh Allah? Meski dengan serangan gila tentera Tartar ke atas kota Khalifah di Baghdad melumpuhkan kerajaan Islam ketika itu, Allah sendiri mempunyai perancangan yang lebih baik dan teliti, demi memelihara Islam ini.

Kerajaan Dinasti Uthmaniyyah diambil namanya dengan dinasabkan kepada pemerintah awal dari keturunan mereka yang pertama, yakni Sultan Uthman ibn Sauji ibn Artugrul ibn Sulaiman Syah ibn Kia Alp.

Ketika prahara yang pertama menimpa umat Islam dengan serangan dari tentera Tartar, Sulaiman Syah melihat marabahaya tersebut bagi negerinya di Mahan. Maka dia bersama sekutunya yang besar itu berpakat supaya berpindah ke negeri lain yang lebih aman, iaitu Anatolia, di Asia Kecil.

Bersama-sama Sulaiman Syah ketika itu ialah 1000 tentera berkuda pada Abad ke-7 Hijrah. Dalam perjalanan mereka berhenti di Akhlat, sehingga mereka mendapat berita tentang kemaraan tentera Tartar, maka mereka segera berpindah ke Azerbaijan. Setelah itu, khabar menceritakan bahawa tentera Tartar telah jauh daripada negeri asal mereka, Mahan. Maka Sulaiman Syah terdetik untuk pulang ke negerinya itu.

Dalam perjalanan, mereka berhenti singgah di Benteng Ja’bar, dalam wilayah Orga. Ketika mahu menyeberangi Sungai Euphrat, tiba-tiba air menjadi bah dan menenggelamkan ketua Kabilah Kabi itu. Jenazahnya dikebumikan berdekatan benteng tersebut.

Beliau meninggalkan empat orang Putera; Sankurtakin, Kun Togdai, Artugrul, dan Dandan. Kedua anaknya yang pertama menunaikan hasrat ayahanda mereka tadi untuk pulang ke negeri asal mereka. Sedang kedua-dua putera lagi, Artugrul dan Dandan meneruskan niat ayahanda mereka yang kedua, yakni melanjutkan perjalanan ke Anatolia. Artugrul dipilih menjadi ketua kabilah, dan mereka menujuk Erzerum. Walaubagaimanapun, yang memilih untuk pulang ke negeri asal mereka, tiada lagi berita dan khabar dari mereka setelah itu.

Tiba di Anatolia, Artugrul mengutus anakanya, Sauji untuk menghadap Sultan ‘Ala`uddin (baca: A’la `uddin: agama tertinggi) Kaiqubas Sultan Saljuk Rumi untuk memohon izin bermastautin di dalam wilayah kekuasaannya dan diberi tanah untuk bercucuk tanam dan berternak. Setelah permohonannya dipersetujui baginda sultan, Sauji pulang untuk membawa khabar tersebut, namun ajal telah menjemputnya dahulu.

Setelah mengebumikan jenazah Sauji, mereka bergerak menuju ke tanah yang telah dihaidahkan kepada mereka. Tiba-tiba dalam perjalanan, mereka melihat pertempuran dua angkatan tentera yang sedang sengit bertempur. Di sebelah jumlahnya besar, sedang di bahagian lain, jumlah kecil sahaja.

Maka, Artugrul dengan semangat keadilan pada dirinya menyeru anak-anak buahnya untuk membantu kelompok tentera yang lemah itu. Maka semangat mereka bertambah membara apabila mengetahui bahawa kelompok tentera yang besar itu ialah tentera Mongol, sedang yang dalam kelompok kecil itu ialah tentera Sultan ‘Ala`uddin Saljuk Rumi yang sedang mempertahankan negerinya dari dirobek oleh tentera Tartar. Akhirnya mereka memenangi pertempuran tersebut.

Sultan ‘Ala`uddin Saljuk berasa amat gembira dengan kemenangan tersebut. Maka Artugrul dijemput ke istana dan diberikan kehormatan, pakaian persalinan, dan tanah dan wilayah kekuasaan yang lebih besar daripada yang djanjikan baginda. Selepas itu kapan sahaja terjadi peperangan dengan pihak musuh, Artugrul membawa anak-anak buahnya untuk pergi berperang, dan setiap kali kemenangan, Sultan ‘Ala`uddin memberikan hadiah wilayah yang baharu kepadanya. Artugrul diberi gelaran ‘Muqaddamah Sultan’ kerana apabila berperang, tentera Artugrul berada di barisan hadapan.

687 Hijrah. 1288 M – Artugrul mangkat dan Sultan ‘Ala`uddin menunjuk cucunya yang sulung, yakni Uthman putera Sauji sebagai pengganti baginda.

Uthman I

Uthman, seperti mana datuknya tetap memberikan taat setia kepada Sultan ‘Ala`uddin Saljuk sehingga kerana kesetiaan dan kegagahperkasaannya itu, dia diberi gelaran ‘Bey’, tanah-tanah wilayah, diberi izin mengguna matawang sendiri, juga boleh mengguna namanya sendiri dalam khutbah jumaat, sehinggakan ketika itu dia seperti seorang Raja, yang tinggal hanyalah mahkota.

699 Hijrah, 1300 M – tentera Mongol datang menyerang lagi, Uthman dengan keberanian dan keperkasaannya terus mempertahankan wilayahnya dan wilayah Sultan ‘Ala`uddin. Namun tidak berapa lama selepas peperangan tamat, Sultan ‘Ala`uddin pun mangkat dan keturunannya tiada yang berkelayakan menjadi raja (700 Hijrah). Maka jalan untuk Uthman naik lebih tinggi dan pergi lebih jauh terbentang luas. Dia memperteguhkan kedudukan dan pertahanan di wilayah haknya itu. Dia memakai gelaran ‘Pardisyah Aal Uthman’ (Raja Besar Keluarga Uthman) dan memilih Iskisyihar sebagai pusat kerajaan. Seterusnya baginda terus memperkukuh kedudukannya dengan mengirim surat kepada raja-raja kecil yang belum Islam bahawa mereka diberi pilihan satu daripada tiga; Pertama: Islam, Kedua: Jizyah, Ketiga: Perang.

Ada daripada raja-raja tadi yang memeluk Islam, ada pula yang memilih untuk membayar jizyah, namun yang memilih untuk berperang, meminta bantuan daripada tentera Mongol. Baginda Sultan Uthman tidak gentar sedikitpun terhadap bantuan tersebut, malah mengirim pasukan tentera yang dipimpin oleh puteranya, Ourkhan. Puteranya bersama tentera berjaya mengalahkan Tartar kemudian mengepung Kota Bursa pada 717 Hijriyyah – 1317 M dan berjaya menguasainya.

Di sinilah bermulanya dinasti Uhtmaniyyah dalam sirah Islam, dinasti ini terus memacu kegemilangannya sehingga membawa kepada detik dan ketika pembukaan kota Konstantinopel dengan cubaan daripada Ourkhan I dan Murad I.

Dipetik dan disunting daripada Sejarah Umat Islam oleh Prof. Dr. HAMKA


Bab 6

Dia memicit-micit kepalanya, terasa pening-pening. Dia cuba membuka mata, terpisat-pisat. Menjadi sedikit hairan, pandangannya seolah menjadi sempit. Diraba-raba matanya, hanya sebelah kiri yang mampu dibuka, sebelah kanan tidak dapat dibuka lagi, dia dapat merasai jahitan pada mata kanannya. Pandangannya masih kelam, lampu bilik yang suram membuatkan ia lebih tampak berbalam-balam.

‘Di mana aku?’ hatinya menggetus sedikit geram. Mindanya tidak mampu berputar baik memikir bagaimana dia bisa berada di situ.

Dia memandang sekeliling, lantai yang berkarpet, bilik yang berhawa dingin, mesin-mesin dan alatan perubatan, dinding bercat putih dan pemandangan indah yang menghadap pantai. Dia mula sedar bahawa dia kini di hospital, bilik ini tidak salah lagi bilik kelas atasan. Dia memicit-micit lagi kepala memikirkan siapa dirinya, dan bagaimana dia mampu untuk menampung semua belanja ini. Seketika, dia terpaksa berhenti, kepalanya makin bingit apabila didesak untuk berfikir.

Kaki dan tangannya cuba digerakkan, dia merasa sangsi kalau-kalau masih ada anggotanya yang telah kehilangan. Dia berpuas hati melihat anggota lainnya masih sempurna, sambil meliar matanya melihat apa yang telah terjadi kepada tubuhnya, kulit demi kulit diuliti. Andai dilihat orang dia bisa dipanggil gila.

Tiba-tiba terdengar pintu masuk dikuak perlahan. Seorang lelaki berkaca mata hitam dengan sut pakaian hitam segak menjengah masuk. Alat penghubung ditelinga kirinya jelas kelihatan, dia bukan pelawat biasa. Melihatkan lelaki di atas katil tadi telah sedar dari rehatnya, dia memasuki blik tersebut, seorang lelaki dengan pakaian yang sama turut masuk mengikuti lelaki tadi.

“Tuan sudah sedar?” salah seorang dari lelaki tadi bertanya.

‘Tuan?’ hatinya menggetus, dia mencuba memutar mindanya, mengerah berfikir, namun sia-sia.

“Di mana aku sekarang?” dia menyoal kembali.

“Tuan di hospital sekarang, hampir sebulan tuan koma, tidak sedarkan diri. Tuan tidak ingat insiden yang berlaku?” lelaki bersut hitam yang bertanya di awal tadi menjawab.

Dia mengerut dahinya, ‘insiden? Insiden apa?’ kepalanya makin sakit. Matanya memerah dan sedikit terbojol. Denyutan nadinya menjadi tidak stabil. Mesin yang disambungkan pada nadinya mula mengeluarkan bunyi yang nyaring, memberi amaran.

Dua lelaki tadi menjadi sedikit kaget, lantas bergegas ke arahnya. “Tuan, tuan okey?”

Seketika doktor dan beberapa orang jururawat mampir masuk ke dalam bilik tersebut, bergegas menuju ke arah pesakitnya. Seorang jururawat meminta kedua-dua lelaki tadi keluar daripada bilik tersebut.

“Maaf, encik berdua tidak sepatutnya mengganggu pesakit ini, apalagi dia baharu sahaja sedar. Sila keluar untuk memudahkan doktor membuat pemeriksaan.”

Kedua-dua lelaki tadi terpaksa keluar dari bilik tersebut dengan wajah hampa.

“Kami akan datang lagi, tapi kali ini kami akan bawa tuan presiden keluar.” Ujar salah seorang lelaki tadi, dengan nada tegas kepada jururawat yang meminta mereka keluar.

Setelah doktor memberikan injeksi pelali, pesakit tadi melemah dan kembali pengsan. Nadinya mula menstabil semula. Doktor meninggalkan bilik tersebut setelah memastikan keadaan pesakit tadi benar-benar stabil.

Dia melihat dirinya berdiri gah di atas puncak bukit itu. Di kakinya ribuan tentera melaut banyaknya menanti untuk diarah. Dia merasa dirinya hebat dan kuat, seolah-olah tidak akan terkalahkan oleh sesiapapun. Senjata canggih di tangan tentera-tenteranya menjadi lambang keagungan tamadunnya ketika itu, sesiapa yang punya senjata canggih dan mampu mengancam seluruh dunia, sungguh dialah orang yang terhebat.

Mentari di ufuk barat kian tenggelam, dia menanti-nanti ketikanya yang paling sesuai untuk melakukan serangan. Tenteranya benar-benar berkobar semangatnya menanti petanda untuk melakukan serangan, seumpama singa yang kelaparan menanti untuk membaham mangsa yang di hadapannya. Mentari sudah tenggelam di ufuknya, satu ketetapan fitrah ketundukannya pada Penciptanya. Malam melabuhkan tirainya, bebintang gemerlap di dada langit.

Dia mengangkat tangan kanan memberi isyarat maju kepada kepada tenteranya. Seperti telah menghafal formasi gerakan, tenteranya bergerak maju ke hadapan tanpa ragu-ragu. Senjata di tangan disisip kemas, menanti untuk menarik picu memusnah musuh. Peperangan kali ini hanya serangan darat kerana tidak mahu mengejutkan musuh, supaya serangan hendap besar-besaran boleh dilakukan. Peranti anti-detektor kemas di pasang pada tubuh, mengelakkan musuh mengesan suhu badan, ataupun pergerakan. Iya, kecanggihan ialah senjata, teknologi ialah kekuatan, dengannya, mampu menguasai dunia.

Lelaki tadi memerhati penuh teliti pergerakan tenteranya melalui skrin yang menerima isyarat daripada peranti kamera mudah alih yang berterbangan secara automatik. Kelopak bawah mata kanannya kadang-kadang bergerak, matanya tidak beralih daripada skrin di hadapannya. Beberapa pengawal berada di luar mengawal blik tersebut, yang merupakan sebahagian daripada pusat kawalan tentera, bagi memastikan keselamatan tuan presiden yang berada di dalamnya.

Dia amat yakin bahawa peperangan ini akan menjanjikan kemenangan untuknya, kenapa tidak? Dia punya segala kelengkapan yang tidak bisa ditandingi oleh mana-mana negara sekalipun, sekalipun oleh Wilayah Perpaduan Negara Islam.

‘Ceh, bercita-cita menegakkan khilafah konon, kalau dahulu nenek moyang aku berjaya meruntuh dan memusnahkan kerajaan yang gah dan agung itu, tidak mustahil hal yang sama bisa aku lakukan!’ hatinya menggetus baran, meluap-luap marahnya.

Di ketika yang sama, tentera-tentera tadi, bersusup-susup di celahan pepohon yang jarang lereng bukit bergerak ke arah kota. Pelindung mata yang dilengkapi pancaran infra-merah menerangi jalan mereka dalam kegelapan malam itu, penuh cermat dan hati-hati, tetapi amat pantas. Senjata di tangan masih kemas dipegang, siaga sahaja untuk menggunakannya tanpa ragu-ragu. Sedang pantas melangkah maju, mereka tiba-tiba terhenti.

Ada mata-mata yang asing, dalam kegelapan malam bersinar cerah kapan disimbah cahaya rembulan. Bukan sepasang, ada dua, tidak, tiga! Makin lama makin banyak. Tentera-tentera tadi menjadi kaget. Salah seorang membuka pelindung mata infra-merahnya, mencuba melihat dalam malam yang diterangi cahaya purnama. Dikecilkannya kelopak mata, memberi lebih fokus, kemudian dia tersentak.

‘Serigala!’ bentak hatinya. Jantungnya berdetak laju.

Mata-mata semakin banyak, tidak kurang daripada 100 ekor. Tentera tadi cuba menghubungi seseorang di pusat kawalan melalui interkom yang berada di telinga kanannya, memberi kemaskini akan perkembangan keadaan di sana. Belum sempat dia mencapai pusat kawalan, serigala tadi melolong, lantas diikuti oleh serigala-serigala yang lain. Seketika itu juga kedengaran bunyi bising tidak berapa jauh dari tempat mereka.

Seolah-olah ada yang sedang bergerak, dengan langkah yang amat pantas. Tentera-tentera tadi semakin gentar. Jantung makin ligat berdetak. Lolongan serigala menghilang dalam deru angin. Mata-mata yang bercahaya juga semakin pudar.

Statik.

Angin turut berhenti menderu.

Sebilangan tentera memandang kiri dan kanan mereka, melilau-lilau melihat keadaan sekeliling. Ketika ini, kebanyakan mereka telahpun mencabut pelindung mata infra-merah mereka.

Telan liur.

Diam.

Statik.

Tiba-tiba kedengaran bunyi ranting patah, semua beralih pandangan ke arah bunyi tersebut.

Diam.

Seketika itu juga, hujanan tembakan menderu-deru menuju ke arah tentera-tentera yang tergamam tadi. Peluru berdesap-desup dalam kegelapan malam mencari mangsa. Ada yang cuba untuk membalas tembakan, namun terlampau lambat, pelindung mata infra-merah gagal dipasang kembali, senjata canggih mengambil masa untuk menjana tenaga. Belum sempat apa-apa, nyawa sudah melayang.

Lelaki di dalam bilik yang merupakan ‘tuan persiden’ tadi terkesima melihat skrinnya. Dia bingkas sepantasnya, tidak percaya dengan apa yang disaksikannya, lebih daripada 100 orang dalam skuad tersebut kesemuanya mati ditembak tanpa sempat membalas tembakan. Peluh dingin mula mengalir jatuh dari dahinya ke sisi wajah. Dia mengalih pandangan, memerhati skrin yang lain. Nasib mereka tidak sebaik mana, pertempuran dalam gelap itu dikuasai oleh musuh mereka.

‘Mustahil!’ hatinya membentak.

‘Aku punya teknologi, aku punya kuasa...’ dia menidakkan realiti yang berlaku di hadapannya. ‘Mustahil!’ matanya melilau-lilau, tidak keruan. Tangannya menggeletar meskipun kejap diletak di atas meja.

Kekuatan teknologi bukan suatu jaminan kemenangan. Kadang-kadang bergantung kepada teknologi menyebabkan perlunya juga untuk menanggung kelemahannya, apalagi di saat genting. Kuantiti juga bukan satu faktor besar dalam menentukan kemenangan dalam peperangan. Jumlah yang besar boleh memperlahankan pergerakan sedang ketepatan masa itu satu aspek penting dalam peperangan.

Tiba-tiba, bilik tersebut bergegar. Di luar sedang berlaku letupan. Pusat kawalan tersebut telah dijumpai. Bunyi tembakan sangat deras di luar. Dia melihat ke arah pintu masuk bilik tersebut. Bunyi asakan untuk memaksa pintu yang diperbuat daripada besi tersebut dibuka kedengaran sangat jelas. Kemudian senyap.

Seketika dia berasa lega, tidak berapa lama telinganya menangkap bunyi detikan jam digital. Matanya terbeliak.

‘Bom!’ hatinya sempat berbisik.

Belum sempat dia dapat melindungkan diri, pintu tersebut meletup.

‘Boommm!!!’

“Tuan, tuan tidak apa-apa?” dia menangkap bunyi suara seseorang.

Dia mencuba membuka matanya perlahan-lahan. Perlahan-lahan, imej yang kabur pada lensa matanya membentuk figur manusia yang dikenalinya. Lelaki dalam sut hitam yang ditemuinya semalam. Tubuhnya lencun dengan peluh, mungkin itu yang membuatkan lelaki tadi mengejutkannya.

“Hari apa hari ini?” dia bersuara, sedikit lemah.

“Hari Selasa tuan, sejak tuan sedar hari itu, sudah lima hari tuan kembali pengsan.” Lelaki tadi menjawab penuh hormat.

“Keluarkan aku!” dalam lemah nadanya terselit ketegasan, tangannya menggenggam kemas lengan baju lelaki tadi. Matanya tidak berkedip.

Lelaki tadi teragak-agak. Namun, dia mengangguk, akur. Dia kenal lelaki ini, dia akan dapat apa yang dimahukan, meski dengan cara yang paling keras. Lelaki tadi bingkas keluar dari bilik tersebut bagi menguruskan urusan pengeluaran ‘tuan presiden’ daripada hospital.

Beberapa minit kemudian, sebuah pesawat khas milik kerajaan mendarat di atas landasan kapal terbang di atas bangunan hospital tersebut. Presiden negara republik persekutuan tersebut dipindahkan bersama alatan pengawasan kesihatan ke Rumah Putih. Beberapa pengawal peribadi bersut hitam mengiringi presiden tersebut di dalam pesawat. Trafik udara ditutup daripada sebarang laluan bagi membenarkan pesawat tersebut untuk bergerak, juga bagi menjamin keselamatan presiden yang sedang sakit itu.

Pengawal-Pengawal Rumah Putih sudah siaga menanti ketibaan presiden tersebut di lapangan Padang Taman Presiden di hadapan bangunan rumah putih. Beberapa doktor dan jururawat juga berada di padang tersebut untuk memeriksa keadaan kesihatan presiden tadi. Lawatan ke Rumah Putih yang dibuka kepada umum juga diberhentikan seketika, sehingga presiden tersebut sembuh. Tahap keselamatan dipertingkatkan di seluruh sudut Rumah Putih, sebarang kenderaan yang keluar masuk akan diperiksa oleh pengesan canggih yang mampu mengesan ketebalan kandungan sehingga 100 meter.

“Dapatkan aku pelindung mata untuk mata kanan aku.” Arah presiden yang masih lemah itu kepada pengawalnya. Setinggi mana pun status mampu menjulang seseorang, dia akan tetap malu akan kekurangan dirinya.

Pengawal yang mengiringinya mengangguk kemudian meninggalkan presiden tersebut untuk mendapatkan barang yang dikehendakinya.

Seorang pengawal yang menunggu di Rumah Putih menghampiri Presiden yang dipindahkan dengan katilnya itu. Berambut perang lebat, kaca mata hitam petak menambah ketegasan pada wajahnya. Di sebelah kanan cermin mata hitam itu, jelas tampak parut yang ketara menjulur keluar dari kawasan matanya. Dia ialah ketua pengawal rumah putih tersebut.

“Selamat kembali tuan!” dia menyapa.

Presiden tadi memandang ke arah lelaki tersebut. Matanya memandang terus ke arah lelaki tadi tanpa berkedip. Kemudian berdehem sedikit memberi respon. Lelaki tadi hanya menggumam, akur dengan respon yang dingin.

“Eleazar, jumpa aku di Pejabat Bujur esok pagi.” Ujar presiden tadi tegas. Dahinya berkerut.

Lelaki tadi mengangguk, “Baik tuan.” Dia berhenti berderap dari mengikuti presiden tersebut.

Seketika kemudian, pandangan iringan tersebut hilang daripada pandangan. Pesawat tadi juga telah meninggalkan padang tersebut. Pengawal-pengawal yang berkawal tadi samada telah bersurai ataupun mengikuti iringan presiden ke Rumah Putih. Joshua Eleazar masih tetap berdiri di tempatnya, tidak beralih. Dia mendongak ke langit sebelum mengeluh, menghela nafas yang berat. Setelah beberapa ketika, dia mula meninggalkan tempat tersebut.

Bilik itu kelam, meski di luar cerah dengan simbahan sinar mentari. Pintu tertutup rapat, tingkap yang kecil, meninggi ke atas pada dinding, tidak melimpahkan cahaya yang banyak masuk ke dalam bilik tersebut. Lampu meja di sisi katil itupun tidak secerah mana, hanya mampu melimpah ke sekitarnya sahaja.

“Selamat kembali, Presiden Amerika Syarikat, Peter Schneider.” Satu suara menyapa dalam kesuraman bilik tersebut.

Peter sedikit tersentak. Kepalanya yang terangkat diletakkan semula ke atas bantal.

“Apa yang kau nak?” soalnya.

“Urusan kita belum selesai Peter.” Suaranya garau, rendah dan mendalam.

Peter mendengus.

“Kau gagal dalam misi kita.”

“Kesilapan kecil.” Ujar Peter.

“Dan impak yang besar.” Sambung lelaki tadi.

“Bukankah aku dahulu lagi telah sarankan serangan secara terang-terangan? Bukan engkau yang mahu kita menyusup di malam hari?”

“Kita akan mendapat tentangan yang hebat kalau serangan dibuat terang-terangan Peter, kau tahu akan itu.”

“Habis, bagaimana sekarang?” soal Peter.

“Teruskan bermain permainan ini. Kau akan disanjung sebagai wira. Presiden yang turun ke medan perang, kembali ke negaranya.”

“Dengan ribuan nyawa terkorban” Peter menyambung, kemudian berdengus.

“Demi mencapai matlamat yang lebih besar, korban itu sesuatu yang perlu Peter. Kau tidak sebegini naïf bukan? Kau pasti tahu.”

“Bagaimana dengan pengundi-pengundi aku? Mereka mengharapkan aku membawa perubahan, sedang aku pulang buta sebelah dengan ribuan nyawa terkorban!” Peter membentak.

“Serahkan hal itu kepada media. Mereka akan pastikan nama baik kau akan terus terjaga. Kami akan pastikan kau akan terus mentadbir negara ini sehingga terma seterusnya.”

Peter menghela nafas panjang.

Diam.

Lelaki tadi sudah pergi. Bilik tadi kembali suram dan diam.


MyLangit Theme By ArpitNext
Copyright © 2008 Bloggerized by : GosuBlogger | Inspired By Langit : Eches